Dari Tentera Bergajah ke Hari Ini: Allah Tidak Pernah Lemah

Facebook
Threads
WhatsApp

Wahai manusia,

Kitab suci yang kamu pijak itu ialah al-Quran, wahyu Allah SWT, kalam-Nya yang diturunkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW kira-kira 1,400 lebih tahun yang lalu.

Al-Quran bukan sekadar kitab bacaan. Ia adalah mukjizat yang kekal, dipelihara oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya bahawa Dia sendiri yang menjaga dan memeliharanya daripada sebarang perubahan dan penyelewengan. Sepanjang sejarah, kandungannya terpelihara, dihafal jutaan manusia dan ditulis dengan disiplin yang ketat.

Allah Maha Berkuasa.

Allah tidak memerlukan manusia untuk mempertahankan-Nya.

Sebaliknya, manusialah yang amat memerlukan rahmat dan perlindungan Allah bukan sahaja untuk kehidupan di dunia, bahkan untuk keselamatan di akhirat.

Perbuatan memijak atau menghina al-Quran sama sekali tidak menjejaskan kekuasaan Allah dan tidak merendahkan kedudukan Islam. Namun ketahuilah setiap perbuatan ada balasannya. Jika Allah menghendaki, azab boleh berlaku di dunia, dan pasti perhitungan menanti di akhirat kelak.

Sejarah telah membuktikannya.

Ketika Kaabah ingin dihancurkan oleh tentera bergajah yang dipimpin oleh Abrahah pada Tahun Gajah, mereka datang dengan kekuatan ketenteraan yang besar dan gajah perang yang gagah. Namun Allah SWT menghancurkan mereka tanpa tentera manusia.

Kisah ini dirakam dalam Surah Al-Fil bagaimana Allah mengutus burung-burung yang melemparkan batu dari tanah yang dibakar, lalu tentera itu hancur seperti daun yang dimakan ulat.

Peristiwa itu menjadi bukti bahawa Allah tidak memerlukan umat Islam untuk mempertahankan rumah-Nya. Kekuasaan Allah melangkaui segala kekuatan manusia.

Namun demikian, umat Islam tetap mempunyai maruah dan kecintaan terhadap agama mereka. Tindakan menghina kitab suci adalah perbuatan biadab yang mencabar emosi dan sensitiviti umat Islam bukan sahaja di Malaysia, tetapi di seluruh dunia.

Kekecewaan terhadap kelemahan agensi agensi kerajaan dalam menegakkan keadilan dan undang undang amat menyesakkan jiwa dan maruah. Namun keyakinan saya tetap teguh, Allah adalah sebaik-baik Pelindung dan Hakim.

Ya Allah, Tuhan yang Maha Perkasa, peliharalah agama-Mu dalam hati kami. Jangan Engkau jadikan kami lemah dalam mempertahankan kebenaran, namun jauhkan kami daripada kezaliman dan melampaui batas.

Tunjukkanlah kebenaran sebagai kebenaran dan kurniakan kami kekuatan untuk mengikutinya.
Tunjukkanlah kebatilan sebagai kebatilan dan jauhkan kami daripadanya.

Peliharalah umat Islam di seluruh dunia di bawah rahmat dan perlindungan-Mu.

Sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik Pelindung dan seadil-adil Hakim.

Amin ya Rabbal ‘Alamin.

Hamba Allah, Wan Hasbullah.

Anda mungkin menyukai ini...