Alamak! Pakej sangkut kat kastam pulak!
Untuk pembeli pertama kali barangan luar negara, pasti akan bimbang dan terkejut kalau produk yang dibeli ditahan oleh pihak Jabatan Kastam DiRaja Malaysia. Mesti tak tahu nak buat apa kan. Aaaa.. jangan risau, ambo nak share skit panduan tentang pembelian barangan dari luar negara.
Untuk pembelian di Kedai WANniaga, kami sertakan nombor “tracking” produk anda dan anda boleh semak lokasi dan perkembangan terkini produk anda di : https://kedai.wanniaga.com/track-your-order/
Panduan Penerimaan & Penghantaran Bungkusan Pos Melalui Pos Malaysia (PMB)
Menerima dan menghantar bungkusan pos boleh dibuat di Pusat Mel & Kurier Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ( PMK KLIA) dan di mana-mana pejabat Pos Malaysia Berhad (PMB) yang mempunyai pejabat Kastam bagi memproses pelepasan Kastam ke atas barangan pos mengikut zon tertentu, bagi mel-mel yang diterima atau dihantar sebagai barang-barang pos melalui mod darat, laut dan udara.
Penerimaan bungkusan pos melalui udara yang berduti/cukai bernilai melebihi RM1,000.00 (CIF) hendaklah diikrar dalam borang Kastam no 1. Bagi barang yang bernilai melebihi RM500.00 (CIF) dan kurang RM1000.00 (CIF) taksiran duti/cukai dibuat atas JK78.
Penerimaan bungkusan pos melalui udara yang tidak bercukai bernilai melebihi RM 2,000.00 (CIF) hendaklah diikrar dalam borang Kastam no 1. Penerimaan bungkusan pos melalui laut dan darat yang bernilai melebihi RM 200.00 (CIF) hendaklah diikrar dalam borang Kastam no 1. Bagi barang yang bernilai kurang RM 200.00. taksiran duti/cukai dibuat atas JK78.
Prosedur menerima dan menghantar bungkusan pos adalah seperti berikut:
- Menerima bungkusan pos
- Menghantar bungkusan pos
Penerima atau penghantar bungkusan pos boleh bertindak sendiri dalam urusan pelepasan kastam atau melantik PMB sebagai wakil atau Agen Kastam lain yang dilesenkan di bawah seksyen 90 Akta Kastam 1967.
Sekiranya penerima tidak mahu menerima barang tersebut, penerima boleh memohon kepada PMB dalam masa 30 hari dari tarikh notis dengan menyatakan alasan tertentu supaya barang dapat dikembalikan (retour) kepada pengirim dan ini tertakluk kepada kelulusan Kastam.
PMB adalah bertanggungjawab sepenuhnya pada setiap masa samada barangan tersebut belum, sedang atau telah diperiksa oleh pihak Kastam. PMB juga bertanggungjawab untuk membuka dan membungkus semula barangan yang diperiksa oleh pihak kastam semasa pengisihan barang dijalankan di bawah peruntukan seksyen 112, Akta Kastam 1967.
Barang pos yang tidak dituntut dalam masa 30 hari dari tarikh JK 78 dikeluarkan, PMB akan menghubungi pentadbiran pos Negara penghantar untuk mendapat maklumbalas dari pengirim. Sekiranya terdapat permohonan untuk dikembalikan (retour), PMB akan menyediakan penyata kepada JKDM untuk kelulusan penghantaran. Bagi barang yang tidak mendapat maklumbalas dari pengirim dalam masa 30 hari ,PMB akan menyerahkan barang tersebut kepada JKDM untuk dikeluarkan Notis Lucuthak kepada penerima. Barang yang tidak dituntut selepas 30 hari dari tarikh resit JK 6 dikeluarkan, PMB akan menyediakan penyata permohonan pembatalan resit JK6 dan Borang K1. JKDM akan mengeluarkan notis lucuthak kepada penerima. Barang larangan di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2008 dan Akta Perdagangan Strategik 2010 tidak boleh dikembalikan.
Barang-barang yang dirampas oleh Kastam/Agensi Kerajaan yang lain (OGA) disebabkan telah melanggar perintah/peraturan atau tidak dituntut dalam tempoh berkelayakan, notis rampasan akan dikeluarkan kepada penerima, dan salinan kepada PMB dan JKDM (jika notis rampasan dikeluarkan oleh OGA).
Pelangan-Pelangan boleh membuat pertanyaan atau mendapat keterangan lanjut mengenai barang pos dengan menghubungi di mana-mana pejabat Kastam yang beroperasi di PMB yang berkenaan.
Barang pos didefinasikan di bawah Akta Universal Postal Union (UPU) ialah:
- Surat (tidak lebih 2 kg)
- Poskad
- Bahan bercetak ( tidak melebih 5 kg) manakala buku dan risalah (tidak melebihi 10 kg)
- Bahan bacaan (braille) ( tidak melebihi 7 kg)
- Paket kecil (tidak melebihi 2kg)
- Bungkusan pos setiap satu bungkusan (tidak melebihi 31.5 kg)
- Barang Express Mail Service (EMS) setiap satu bungkusan (tidak melebihi 50 kg)
Prosedur Menerima Bungkusan Pos
PMK KLIA akan mengasingkan barangan kepada dua kategori.
Barang yang diberi pelepasan terus
PMB akan menghantar barang terus kepada penerima.mengikut alamat penerima.
Barang-barang yang ditahan
- PMB akan mengeluarkan Notis Tahan Dagangan (PK1) dengan menyertakan salinan JK 78 (jika melibatkan permit) untuk makluman dan tindakan penerima
- Bagi barang larangan bersyarat/permit di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2008, penerima perlu mendapatkan permit dari agensi berkenaan. Borang ikrar Kastam No.1 hendaklah dikemukakan bersama dengan permit
- Sekiranya barangan tertakluk kepada duti /cukai pembayaran hendaklah dibuat dibuat di kaunter pembayaran PMB.
Penerimaan bungkusan pos akan dibuat melalui isihan di PMK KLIA oleh Pegawai Kastam mengikut tatacara yang ditetapkan dan di ambil tindakan berikut:
- Barang pos yang diisih akan diberi status pelepasan atau ditahan oleh PMK KLIA.
- Barang yang telah diberi pelepasan akan dihantar terus kepada penerima oleh PMB.
- Bagi barang yang ditahan oleh Kastam/Agensi Kerajaan Yang Lain (OGA) PMB akan mengeluarkan Notis Tahan Dagangan (PK1) dengan menyertakan salinan JK 78 (jika melibatkan permit) untuk makluman dan tindakan penerima.
Bagi barang larangan bersyarat/permit di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2008 perlu diikrar dalam Borang K1 dengan menyertakan kelulusan/permit dari agensi berkaitan.
Bagi barangan import semula, ia hendaklah berpandukan kepada panduan prosedur import semula yang telah ditetapkan
Prosedur Menghantar Bungkusan Pos
Penghantaran bungkusan pos perlu dibuat dengan mengisi borang yang ditetapkan iaitu Nota Konsainmen bagi Express Mail Service (EMS) , CN22 bagi bungkusan kecil (small packet) dan CN23 bagi bungkusan yang boleh didapati di kaunter Pos Malaysia. Bagi barang larangan bersyarat /permit yang tertakluk kepada Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2008 dan Perintah Perdagangan Strategik (Barang Strategik) 2010, ia perlu mendapat kelulusan/permit dari agensi berkaitan dan diikrar dalam Borang K2. Barangan yang tertakluk kepada larangan mutlak adalah dilarang dikirim keluar. Bungkusan pos yang hendak dikirim keluar yang berduti/bercukai dan yang akan dituntut pengecualian serta barang yang akan diimport semula, perlu diikrar dalam Borang kastam No.2 dan perlu dibuat pemeriksaan fizikal untuk pengesahan semasa penghantaran keluar dan pengimportan semula.