Hari ni aku terjumpa kisah-kisah Saidina Nu’aiman yang nakal dan selalu membuatkan Nabi SAW tertawa. Daripada kisah-kisah ini, menampakkan dan menjadikan Nabi SAW dan sahabat-sahabat baginda adalah manusia yang terikat dengan adat-adat menjadi manusia.
Tidak seperti cerita-cerita yang diceritakan ketika aku membesar, iaitu kisah-kisah sahabat-sahabat baginda terlalu sempurna sehingga aku menjadi sangat takut dan tidak mampu mengikut akhlak sahabat-sahabat Nabi ini.

Aku cuba berubah. Aku juga mengharapkan keluarga aku berubah ke arah kebaikan. Tetapi, oleh kerana aku dihidangkan dengan kesempurnaan kisah-kisah akhlak yang terlalu tinggi, hinggakan aku menjadi seorang yang terlalu keras, hinggakan kesilapan kecil pun menjadikan aku mendenda keluarga aku sendiri.
Hari ini, seperti aku ditegur oleh ustaz yang berceramah dalam video akan “kerasnya” aku nakkan kesempurnaan.
Kisah Saidina Nu’aiman yang lambat berubah, dan bagaimana sabarnya Nabi SAW melayan karenah sahabat baginda ini, menjadikan aku tersedar yang keluargaku ini sudah begitu baik, sahabat-sahabat disekelilingku ini sudah begitu sempurna.
Akhirnya, aku sedar, ada sesetengah orang lambat berubah, mengulangi tabiat yang lama, tetapi itu sebenarnya ujian kepada aku sendiri. Ujian kesabaran. Aku sendiri pun lambat berubah. Tetapi yang penting di sini, nakkan perubahan itu, nakkan perubahan ke arah kebaikan dan kesempurnaan.
Namun, dalam perjalanan kehidupan mencari kesempurnaan ini, biarlah disulami dengan senyuman dan keriangan.