Ibu Sentiasa Ada…?

Facebook
Threads
WhatsApp

Seorang ibu berumur 60 tahun duduk termenung di ruang tamu rumah kecilnya.

Televisyen terpasang.
Tetapi matanya kosong.

Di bilik hujung rumah, anak lelakinya yang berumur 33 tahun masih tidur. Langsir tertutup rapat walaupun jam sudah hampir tengah hari. Bunyi kipas perlahan bercampur dengan cahaya monitor komputer yang tidak pernah benar-benar dipadamkan.

Begitulah hampir setiap hari.

Dan yang paling menyakitkan…

Dia tahu semua itu berpunca daripadanya sendiri.

Semasa anak itu kecil, ibunya terlalu sayang.

Terlalu melindungi.

Kalau anaknya lambat bangun sekolah, dia akan kejut perlahan-lahan sambil usap kepala.

Kalau kasut sekolah belum dibasuh, dia akan cuci diam-diam tengah malam.

Kalau kerja sekolah susah, dia sendiri yang tolong siapkan.

Ayah budak itu pernah cuba mengajar anak mereka berdikari.

“Biar dia buat sendiri. Budak lelaki kena belajar susah sikit.”

Tetapi si ibu cepat melenting.

“Abang ni keras sangat dengan anak!”
“Dia masih kecil!”
“Nanti dia stres!”

Setiap kali ayah cuba tegas… ibu akan masuk campur.

Dan akhirnya ayah semakin banyak diam.

Pernah satu hari, ketika anak mereka berumur 15 tahun, ayah sengaja biarkan anak itu basuh pakaian sekolah sendiri.

Budak itu merajuk.

Ibu terus marah suaminya di dapur.

“Abang ni ayah ke askar?”
“Basuh baju pun nak paksa dia!”

Ayah hanya tunduk sambil menyuap nasi.

Malam itu, tanpa bercakap apa-apa, dia bangun dan membasuh sendiri pakaian anaknya.

Selepas itu…
dia semakin jarang bersuara.

Bila anak gagal peperiksaan, ibu bela.

“Tak apa… bukan semua orang pandai akademik.”

Bila anak berhenti kolej selepas satu semester, ayah cuba marah.

“Kau dah besar. Sampai bila nak main game siang malam?”

Anaknya terus hempas pintu bilik.

Ibu pula menyerang suaminya.

“Kalau abang asyik tekan dia macam ni, lagi teruk dia jadi!”

Ayah diam lagi.

Kadang-kadang lelaki itu duduk seorang diri di luar rumah waktu malam. Menghisap rokok sambil termenung lama.

Dia nampak apa yang sedang berlaku.

Tetapi setiap kali dia mahu membetulkan keadaan… dia menjadi “orang jahat” dalam rumah itu.

Akhirnya dia mengalah.

Tahun demi tahun berlalu.

Anak mereka makin selesa hidup tanpa tanggungjawab.

Bangun lewat.
Main game.
Tengok YouTube.
Tidur pagi.

Kalau lapar, dia tanya:

“Mak, ada makanan tak?”

Kalau duit habis:

“Mak, transfer sikit.”

Dan si ibu… tetap memberi.

Walaupun dalam hati dia mula penat.

Suatu malam, si ayah bersuara perlahan ketika mereka mahu tidur.

“Sampai bila awak nak manjakan dia macam ni?”

Isterinya terus menjawab dengan nada tinggi.

“Dia anak kita!”
“Awak tak kesiankan dia ke?”
“Dia bukan jahat pun!”

Ayah itu hanya memandang siling.

Lama.

Kemudian perlahan dia berkata:

“Abang bukan takut dia jadi jahat… abang takut satu hari nanti dia tak mampu hidup bila kita dah tak ada.”

Ibu terus diam.

Tetapi ego seorang ibu membuatkan dia menolak kata-kata itu jauh dari hati.

Sehinggalah satu hari…

Suaminya meninggal dunia akibat serangan jantung.

Rumah itu menjadi sunyi.

Terlalu sunyi.

Kini hanya tinggal dia dan anak lelakinya itu.

Pada awalnya dia fikir anaknya akan berubah.

Tetapi tidak.

Anaknya masih bangun tengah hari.
Masih menunggu makanan disiapkan.
Masih bertanya di mana baju bersihnya.

Sedangkan ibunya sendiri sudah sakit lutut.
Sudah tidak kuat berdiri lama di dapur.

Satu malam, ketika wanita itu cuba mengangkat bakul baju, belakangnya tiba-tiba sakit teruk hingga dia terduduk menangis di lantai.

Anaknya keluar dari bilik dengan wajah terganggu.

“Mak kenapa?”

Dengan air mata yang jatuh perlahan, wanita itu memandang anak lelakinya lama-lama.

Dan buat pertama kali dalam hidupnya…

Dia teringat semula semua kata-kata suaminya yang dulu.

Rupa-rupanya lelaki itu bukan terlalu keras.

Dia cuma terlalu takut.

Takut anak lelaki mereka membesar menjadi lelaki yang tidak tahu hidup tanpa disuap kasih sayang.

Anda mungkin menyukai ini...