
Hari ini adalah hari pertama tahun baharu mengikut kalendar Islam. 01 Muharram 1440 Hijriah. Umur kita pun semakin bertambah. Dan semoga di awal tahun ini, dapat terus berniat untuk bertambah baik dari hari semalam. Kami di WANniaga.com ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru.
Kullu Am Wa Antum Bikhair
Saya percaya, semua telah sedia maklum dengan sejarah peristiwa Hijrah Nabi SAW ini. Namun, tiada salahnya jika kita baca kembali sebagai ingatan kepada pengorbanan junjungan besar kita ini.
Pada malam berlakunya peristiwa hijrah, rumah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam telah dikepung oleh pemuda – pemuda yang dipilih daripada kabilah – kabilah kafir Quraisy. Tujuan mereka mengepung rumah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam ialah untuk membunuh baginda.
Baginda berjaya keluar dari rumahnya dalam keadaan selamat dan terus menuju ke rumah Sayidina Abu Bakar As – Siddiq. Sayidina Abu Bakar menjadi teman setia baginda sepanjang perjalanan ke Yathrib tanpa diketahui oleh kafir Quraisy.
Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam dan Sayidina Abu Bakar sampai di Quba, iaitu kira – kira 5km dari Kota Yathrib setelah menempuh perjalanan yang meletihkan selama 8 hari. pada hari Isnin, 8 Rabi’ul Awal bersamaan dengan 20 september 622 Masehi baginda mendirikan masjid Quba. Inilah masjid yang pertama dibina oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam sebagaimana firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala:-
Maksudnya: “… Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar taqwa (Masjid Quba) sejak hari pertama adalah lebih patut kamu solat di dalamnya …”
Setelah 4 hari di Quba, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam dan rombongan berangkat meneruskan perjalanan. Sebelum sampai ke Yathrib, baginda singgah di suatu tempat yang bernama Lembah Ranuna. Di lembah ini baginda telah menunaikan solat fardhu Juma’at. Ini adalah solat Juma’at yang pertama dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam dan juga khutbah pertama disampaikan.
Betapa pengorbanan seorang Rasulullah SAW sebegini besar kepada umatnya dan besarnya pengajaran sejarah untuk kita fikirkan bersama.
Selamat Tahun Baru 1440H kepada semua.